Jan 23 2007
Imran angkat budaya Melayu
ARTIS: Imran Ajmain
JUDUL: Dengan Secara Kebetulan
GENRE: Pop R & B
ADA hikmahnya juga tinggal jauh dari tempat kerja. Dalam perjalanan jauh memandu, ia memberi peluang kepada saya melayan CD baru yang semakin banyak diterima.
Soalan pertama, siapa Imran Ajmain hinggakan saya yang nyaris terlelap boleh memandu dengan segar walaupun jarum jam menunjukkan angka 2 pagi?
Untuk pengetahuan pembaca, album artis baru dari Singapura ini belum lagi diedarkan di sini. Seorang rakan meminta saya mendengarnya kerana dia mengakui lagu Imran hebat-hebat.
Selepas mendengar, saya tidak nafikan memang benar album ini menarik. Walaupun mungkin ramai yang akan mengatakan Imran tergolong di kalangan artis jenis `wannabe’, namun saya tetap puji jati diri Melayunya.
Ia disebabkan album berkonsep pop R&B ini datang lengkap dengan pakej pantun, puisi dan peribahasa Melayu. Memang menarik apabila sebelum trekber mula, pendengar disapa bunga bahasa yang santun dan molek. Terutama Apakah Salah Beta lagu nyanyian asal Othman Hamzah yang diberikan nafas baru.
Apa yang saya maksudkan dengan `wannabe’ tadi, lenggok lontaran vokal Imran kedengaran seperti artis R & B tertentu yang pernah kita dengar sebelum ini. Condongnya kuat mengarah ke artis R & B popular Indonesia.Jadi dari segi keaslian (originality), ia memang kurang.
Kalaupun tujuan lagu Taurus (Penawar Rindu) menampilkan Dayang Nurfaizah untuk melengkapi syarat pasaran di Malaysia, bagi saya usaha Imran membuat improvisasi terhadap lagu ini menonjolkan impak.
Bukan saja lagu ini kedengaran lebih sedap malah tetap mengekalkan melodiasal.
Saya seronok mendengar Malu yang disusun baik melodinya ditambah rentaknya easy going menjadikan lagu ini begitu tersendiri. Begitu juga Sudah TuSudah yang cukup sesuai dijadikan single pertama. Apapun Tidak Seindah Bahasa adalah lagu yang paling menusuk dan menyentuh hati dalam album ini.
Sumber dari ©The New Straits Times Press (M) Berhad





